Amalan penyelamat…

Hadith panjang ini saya petik dari buku yang saya pinjam dari kawan saya, Bertemu Janji Allah hasil tulisan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya baca bukan kerana saya parti Bulan Hijau, bukan juga orang kuat Tok Guru atau seangkatan dengannya. Saya baca kerana memang saya nak baca dan untuk menambah ilmu saya yang agak cetek ini. Tak kira hasil tulisan siapa-siapa. Moga menjadi manfaat kita semua.

Sebuah hadith yang dikeluarkan oleh al-Tarmizi daripada al-Hakim, daripada Abdullah bin Umar, daripada Nafie’, daripada Ibnu Abi Hudaie’, daripada Abdul Rahman bin Abdillah, daripada Sa’id bin Musayyab, daripada Abdul Rahman bin Samurah katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud ;

Semalam aku melihat perkara yang menakjubkan. Aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku didatangi oleh Malaikat Maut, maka datanglah amalan baik lelaki itu iaitu amalan kerana menjaga kedua ibu bapanya. Amalan itu datang dan berjumpa dengan Malaikat Maut lalu menghalang malaikat Maut daripada mengambil nyawa lelaki itu. (Dengan amalan itu bermakna bertambah panjang umur lelaki itu.)

Begitu juga aku melihat seorang lelaki daripada kalangan umatku yang sedang berhadapan dengan azab kubur, tiba-tiba datang amalan wuduk orang itu yang sangat sempurna lalu menangkis azab kubur itu, sehingga lelaki itu terlepas daripada azab kubur yang sudah sedia mengazabnya.

Begitu juda aku melihat seorang lelaki dari kalangan umatku yang dikelilingi syaitan yang menyesatkannya. Ketika itu datang amalan zikrullah orang itu dan menghambat syaitan-syaitan itu. Maka orang itu terlepas daripada perbuatan syaitan-syaitan yang menyesatkannya.

Aku juga melihat umatku dikelilingi oleh malaikat Azab yang sudah bersiap sedia hendak mengazab orang itu, maka datanglah amalan solat (solat fardu dan sunat) orang itu lalu melepaskannya dari azab itu.

Selain itu, aku melihat umatku sedang dalam keadaan terlalu dahaga, setiap kali dia pergi kepada kolam-kolam air, ada orang yang menghalaunya. Pada ketika itu, datanglah amalan puasa orang itu dengan membawa air kepadanya, maka minumlah dia sehingga hilang dahaganya.

Aku juga melihat kumpulan umatku sebagaimana nabi-nabi yang lain duduk berkumpul-kumpul. Tetapi di kalangan orang yang ramai itu terdapat seorang daripada umatku, yang setiap kali dia cuba menghampiri kumpulan-kumpulan itu, dia dihalau. Kemudian datang orang itu berupa amalan mandi janabah, lalu amalan itu mengangakat orang berkenaan dan meletakkannya dalam kumpulan manusia dan para nabi.

Begitu juga aku melihat umatku sedang dikelilingi oelh gelap-gelap gelita menyebabkan dia kebingunan. Ketika itu datang amalan haji dan umrahnya lalu menariknya daripada keadaan gelap-gelita dan menghantarnya ke tempat yang terang.

Begitu juga aku melihat seorang daripada kalangan umatku yang mahu bercakap dengan orang lain, malangnya orang-orang itu tidak mahu berkata-kata dengannya. Ketika itu datanglah amalan silaturahim dan berkatalah ia,’Wahai orang-orang mukmin semua, berkata-katalah (berbual-buallah) terhadap orang ini’, Setelah itu maka berkata-katalah orang-orang mukmin itu kepada orang berkenaan.

Aku juga melihat seorang daripada umatku sedang ditimpa percikan api, ketika itu datanglah amalan sedekah lalu menjadi perisai kepada orang itu daripada bahaya semburan api itu.

Selain itu, aku melihat seorang daripada umatku yang sedang diheret ke api neraka. Pada ketika itu, datanglah amalan amar makruf nahi mungkar bersama dengan malaikat Rahmat, lalu menyelamatkan orang berkenaan dari kawah api neraka.

Aku melihat seorang daripada umatku jalan merangkak bagi menemui Allah S.W.T, malangnya ada tembok yang memisahkan mereka dari Tuhannya. Ketika itu datanglah amalan mereka berupa akhlak mulia, lantas memimpin tangan orang itu menuju ke hadrat Allah S.W.T.

Sesungguhnya aku juga melihat suratan amalan umatku yang dihulurkan kepadanya oleh malaikat dengan tangan kiri, ketika itu datanglah kepadanya amal ibadatnya yang disebabkan rasa gerun kepada Allah. Amal yang disebabkan gerun kepada Allah itu menjadi penangkis kepada suratan yang bakal diterima melalui tangan kirinya, menyebabkan ia bertukar suratan amal itu menjadi suratan amal dari sebelah kanan.

Begitu juga aku melihat daripada umatku yang timbangan amal kebajikannya terlalu ringan sebaliknya timbangan amal yang jahat  mengatasi timbangan yang baik. Ketika itu datanglah anak-anak orang itu yang mati ketika kecil, lalu timbangan amal kebajikan orang tuanya menjadi berat.

Aku juga melihat antara umatku yang sedang berdiri di tepi neraka jahanam dan hampir-hampir terjerumus ke dalamnya, maka ketika itu datanglah amal jahat yang tidak jadi dilakukan semata-mata kerana gerun dan takut kepada Allah. Amalan itu menarik tangan tuannya hingga terselamatlah dia daripada api neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.

Aku juga melihat umatku yang sedang menjuman masuk ke dalam api neraka, tiba-tiba datang air matanya yang menitis semasa di dunia dulu disebabkan oleh sesalan terhadap perbuatannya yang buruk, semata-mata kerana Allah. Lalu air mata sesalannya itu menyambarnya daripada terus jatuh ke dalam kawah neraka, menyebabkan dia terkeluar dari neraka itu.

Aku juga melihat di kalangan umatku yang berdiri di atas sirat dalam keadaan terketar-ketar kerana takut jatuh ke dalam neraka, sebagaimana terketar-ketar orang yang sakit tenat. Tiba-tiba datang amalan hatinya iaitu perasaan ‘Husnu Dzan’ (sangka baik terhadap Allah), maka husnu dzannya itu menyelamatkannya daripada terjatuh ke dalam neraka serta dapat meneruskan perjalanan melalui sirat itu dengan selamat menuju syurga.

Aku juga melihat di kalangan umatku yang sedang mengengsot dan merangkak di atas titian sirat, ketika itu datanglah amalan selawatnya kepadaku (Rasulullah S.A.W) lalu dipegangnya tangan orang itu dan diangkatnya berdiri tegak. Maka selawat itu memimpinnya terus melintasi titian sirat dan selamat sampai ke syurga.

Akhirnya aku juga melihat di kalangan umatku yang telah sampai ke syurga, malangnya setiap pintu syurga yang hendak dilaluinya tertutup dan terkunci untuknya. Ketika itu datanglah syahadatnya yang menjadi pegangan akidahnya, maka terbukalah pintu syurga dan dapatlah umatku itu memasuki syurga dengan aman.”

Namun pada saya, bukan kelebihan itu yang kita lihat, tetapi lihatlah kepada amalan-amalan tersebut dan lakukannya semata-mata mencari redha Allah. Moga ia menjadi amalan saya dan anda juga.

Berusaha dan melakukan yang sebaiknya dalam mencari Sinar Jannah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: