Bersangka baik,justeru hatimu tenang..

Assalamualaikum…

HATI. Satu organ yang wujud dalam badan setiap insan. PERASAAN. Suatu yang tidak wujud untuk dilihat, namun dapat dirasai oleh setiap orang. Hebatnya kuasa Allah, suatu roh yang wujud tanpa kita pasti di mana letaknya. ALHAMDULILLAH. Allah kurniakan kita hati dan perasaan. Yang membolehkan kita bercinta,merindui, membenci, marah, menangis dan banyak lagi perasaan perantara antara benci dan sayang.

Kita gagal mendapatkan pekerjaan yang kita mahu.Kecewa,bukan….Hanya yang pernah mengalami sahaja yang tahu.

Kita gagal dalam percintaan. Merana,bukan….Hanya yang pernah mengalami sahaja yang memahami.

Kita gagal dalam peperiksaan. Sedih, bukan..Hanya yang pernah mengalami sahaja yang mengerti.

Namun, dari pengalaman sendiri, bersangka baiklah dengan apa yang berlaku. Kecewa, merana dan sedih,hanya akan menyakiti hati dan perasaan sendiri. Mahu kecewa, merana dan sedih.Boleh, tapi sampai bila????

Tanya diri sendiri. Tipu jika saya kata saya tidak pernah bersedih atas kekecewaan(beberapa kekecewaan yang telah Allah titipkan). Lama juga mahu pulih, kerana saya juga insan biasa. Hidup hambar,kusam. Tapi alhamdulillah, Allah membuka mata , hati dan perasaan saya untuk melihat musibah itu adalah ketentuan dari Allah. Malah, musibah yang berlaku pada diri kita kebanyakannya dari tangan kita sendiri. Sungguh, kita sendiri yang merancanakan kesedihan yang kita alami. Tak percaya, tanya hati dan perasaan anda sendiri. Pasti anda akan akui.

Lantas, bagaimana mahu bersangka baik?? Redhalah dengan apa jua yang berlaku. Semudah itu??

TIDAK.

Untuk meredhai apa yang berlaku memang tidak mudah malah terlalu payah. Justeru bagaimana???

Tanam saja dalam hati. Dunia bukan milik kita. Yang kita rasa kepunyaan kita adalah bukan milik hakiki kita. Ia pinjaman Allah. Kita gagal mendapatkan pekerjaan yang kita kehendaki,tanam saja dalam hati,pekerjaan itu bukan rezeki untuk kita. Allah telah merencanakan pekerjaan lain! Kita gagal dalam percintaan, tanam saja dalam hati, cinta itu hanya pinjaman sementara, ia boleh datang, boleh pergi dan tidak mustahil untuk datang kembali.Maka untuk apa ditangisi sehabis hati. Hanya cinta sejati yang akan hadir menemani dengan izin Allah, bukan cinta yang dikhianati. Kita gagal dalam peperiksaan, tanam dalam hati, Allah mahu kita terus berikhtiar. Peperiksaan yang gagal bukan penamat hidup. Berapa ramai yang tidak habis belajar yang berjaya dalam kehidupan mereka. Jangan putus asa kerana Allah tidak akan pernah menzalimi hambaNya.

Cubalah bersangka baik dengan Allah. Anda pasti akan tersenyum. Allah yang menjadikan kita. Allah yang menjaga kita dari lahir hingga mati. Allah yang menjaga kita dari bahaya dan hasutan syaitan. Maka, Allah pastinya merencana hanya yang terbaik untuk kita.

Keburukan yang kita dapat tidak selama-lamanya melekat dengan diri kita. Pastinya kita pernah baca kisah hidup insan-insan yang berjaya,bukan? Adakah mereka bermula dengan kesenangan? Adakah mereka bermula dengan kekayaan? Adakah mereka bermula dengan kebahagiaan? Saya dapat mengagak, anda pasti tahu jawapan.

Maka bersangka baiklah dengan ujian Allah. Bersangka baiklah dengan apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita. Kerana yang berlaku, hanya yang terbaik untuk laluan hidup yang akan datang. Didiklah hati, didiklah perasaan dalam menuju kebaikan. Bersangka baiklah, justeru hatimu tenang…..;))

Bersangka baik dengan Allah dalam meraih sinar Jannah.

Cinta sebelum nikah itu tidak salah….

Topik kesukaan ramai.CINTA.Ohh..lupakan dulu episod pencarian CINTA HATI saya, kerana tulisan saya bukan berkenaan luahan hati atau epilog drama kehidupan saya.Cuma yang boleh saya ulas sedikit, mungkin saya sudah menemui CINTA HATI yang saya cari..fullstop..;))

Ramai yang terkeliru tentang cinta. Ramai juga yang menyalahguna perkataan CINTA. Sungguh, ramai juga yang meragui kehebatan cinta. Semua orang perlukan cinta,bukan…kerana cinta itu fitrah,tidak mampu dinafikan oleh sesiapa,hatta haiwan juga punya perasaan cinta.

 

Fokus saya,cinta sebelum nikah. Banyak iklan dan laungan rakan-rakan yang prihatin tentang isu ini. Alhamdulillah. Namun, jangan terlalu ‘keagamaan’ sehingga menolak apa yang Allah telah gariskan. Dan dari pembacaan,saya menemui suatu pemikiran yang jelas sama seperti yang saya ingin sampaikan..

Mungkin saudara ini lebih arif dari saya,lebih berilmu dari saya, lebih baik penulisaannya dari saya,maka untuk perkongsian, saya sertakan pautannya.Moga lebih jelas,kerana cinta itu indah..;)

http://www.facebook.com/notes/hilal-asyraf/tak-couple-maka-tak-kenal-haha-/2205848271146

Ada orang bangkitkan.

 

“Kalau tak couple, macam mana nak kenal hati budi orang itu? Macam mana nak tahu dia baik ke tak? Macam mana nak pastikan dia sesuai dengan kita atau tidak?”

 

Kemudian katanya,

 

“Kalau bercinta itu hanya selepas kahwin, macam mana kalau lepas kahwin tup-tup tak jadi cintanya. Macam mana?”

 

 

Pertamanya, saya suka nak sebut.

Saya tak ajar kata tak ada bercinta sebelum kahwin. Saya kata ada. Tetapi tidaklah bercinta versi hollywood atau versi melayu, atau versi korea atau versi jepun yang kita sering lihat di kaca TV atau realiti kehidupan. Bercinta versi Islam. Sebelum kahwin pun ada.

 

Rujuk lebih lanjut berkenaan hal itu di sini —–>  http://www.facebook.com/notes/hilal-asyraf/couplecinta-saya-kata-tidak/2202426305599

 

 

Tak couple maka tak kenal?

 

Baiklah. Kita masuk ke dalam bab asal. Kalau tak couple, macam mana mahu kenal?

Sebenarnya, Islam ini tidaklah se’rigid’ yang disangka. Islam meraikan fitrah manusia. Macam saya kata, Islam tak haramkan seks. Tetapi Islam mendidik kita untuk meletakkan seks pada tempatnya(yakni selepas perkahwinan), agar nasab(salasilah keturunan) manusia terjaga, dan tidak pula manusia dijangkiti penyakit merbahaya.

 

Begitulah dalam hubungan lelaki dan perempuan. Islam tidak haramkan langsung. Tetapi Islam mendidik kita untuk meletakkannya pada tempat sepatutnya. Dan couple, bergaul tanpa batas, bukanlah apa yang Islam didik dalam hubungan lelaki perempuan.

 

Kalau kita perhatikan secara jelas, satu-satu organisasi Islam itu, digerakkan oleh lelaki dan wanita. Bersama-sama. Mereka berhubungan. Tetapi dalam batas yang ditetapkan. Tidak pula berlebih-lebihan, dan jauh sekali melanggar hukum syara’.

 

Dalam isu rumah tangga, membina rumah tangga bukan perkara yang kecil. Mustahil di dalam Islam, benda sebegitu besar, disuruh membinanya dalam keadaan gelap. Islam yang indah ini, pastinya mendidik ummatnya agar membina sesuatu yang besar seperti rumah tangga ini, dalam keadaan jelas, keadaan faham, dan berhati-hati.

 

Maka di antara step dalam membina rumah tangga di dalam Islam adalah ta’aruf, yakni berkenalan.

 

Tetapi, indahnya Islam ini, tiadalah perkenalan itu dilakukan semberono sahaja. Tetapi berjalan dalam keadaan terjaga, bersih, dan menyenangkan. Tidak pula membawa kepada maksiat, dan tidak pula memberikan keburukan.

 

Tak couple maka tak kenal?

 

Itu pada saya hanya satu ketakutan kita, dalam meninggalkan sesuatu yang kita nampak ‘biasa’.

 

Kita biasa nampak orang kalau nak kenal, dia couple dulu. So, bila kita diajak meninggalkan ‘kebiasaan’ itu, kita risau.

Saya memahami kerisauan itu. Tetapi jalan yang kita mahu ambil sekarang adalah jalan yang Allah SWT sarankan.

 

Tidakkah kita membaca firman Allah SWT:

 

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur ayat 30-31.

 

 

 

Kalau benar suka, bergeraklah.

 

Kalau benar suka, jatuh cinta kepada seseorang, selain saya tidak menafikan keperluan kita melakukan Istikharah, berdoa kepada Allah SWT, kita juga perlu bergerak berusaha.

 

Tetapi apakah berusaha ini dengan mengorat? Tidak.

Bagaimana kita boleh hendak beribadah(rumah tangga adalah ibadah) sekiranya kita memulakannya dengan maksiat kepada Allah SWT?

 

Tetapi apakah ketaatan kepada Allah itu akan merencatkan usaha kita untuk membina rumah tangga ini? Sama sekali tidak.

 

Kalau sudah suka, maka pertama sekali buatlah background checking. Saya amat tekankan perkara ini. Anda kenal dengan siapa yang rapat dengan orang yang anda suka itu? Tanyakan.

 

Saya sendiri, bila jatuh hati dengan perempuan yang saya suka, saya pergi bertanya kepada yang rapat-rapat dengannya. Senior-senior, ustaz-ustazah, keluarga, untuk tahu berkenaan dirinya. Saya hingga pergi berziarah ke rumah perempuan yang saya suka. Berkenalan dengan ibu bapanya. Tinggal masa itu saya tidak nyatakan hasrat saya. Sebab saya sekadar nak tengok, perempuan yang saya suka ini, keluarganya bagaimana. Rumahnya bagaimana.

 

Kita perlu ingat, kita perlu dipandu keimanan di dalam hal ini, bukan dipandu rasa. Sebab itu, background checking adalah perlu. Kita bukan ikut rasa suka kita semata-mata. Suka, terus nak kahwin. Jangan demikian. Buat background check dulu.

 

Kata nak berkenalan kan? ^^

 

Ustaz Dahlan bin Mohd Zain ada ajar saya bahawa, bila benar-benar hendak berkahwin ini, mengintai tingkah laku orang yang kita berkenan itu pun dibenarkan. Sebab, kita nak kahwin dengan orang yang betul-betul menyenangkan kita. Jadi, adalah dibolehkan untuk kita mengintai mereka. Tetapi bukanlah mengintai hingga ke privacy mereka. Dan dengan syarat, benar-benar untuk berkahwin. Bukan berniat jahat, bermain-main dan sebagainya.

 

Jadi, jelas. Background check. Itu level pertama ‘berkenalan’ dalam hal nak betul-betul nak berumah tangga ini.

 

Kemudian, bila sudah berpuas hati, rasa dia ok dengan kita, maka buatlah move yang kedua.

 

Iaitu hantar wakil untuk menyatakan perasaan kita kepadanya.

 

Tetapi pun, hal ini, lihatlah kondisi diri.

 

Kalau diri tu masih sekolah, kalau diri itu masih tidak mampu sara hatta diri sendiri, ibadah masih tunggang langgang, fikir-fikirlah panjang-panjang.

 

Saya, secara peribadi tak ada masalah dalam bab umur, or bab tak ada duit. Asalkan, saya ulang, asalkan, kita lakukan dulu perbincangan dengan kedua-dua ibu bapa kita, penjaga kita. Yang ada ustaz ustazah yang kamcing dengan kita tu, bawak-bawaklah ustaz ustazah itu juga masuk dalam perbincangan ini. Tanya pendapat. Kalau semua rasa kita sesuai teruskan perkara ini, teruskan.

 

Baik, masuk bab hantar wakil itu semula. Yang lelaki hantarkan wakil, mak ayah, penjaga dan sebagainya. Saya tak galakkan hantar wakil dari kalangan rakan-rakan. Kerana, siapa tahu sejauh mana rakan-rakan anda itu ‘jauh lebih matang daripada anda’. Wakil ini, bukan taraf posmen karat. Wakil ini, perlulah dari kalangan orang yang anda boleh percaya dia, yang dia itu boleh tarik anda, perbetulkan anda kalau anda salah. Jadi, saya prefer ibu bapa, penjaga, mas’ul atau mas’ulah, dan yang setaraf dengannya.

 

Yang perempuan pun sama. Selepas buat background check, hantarlah wakil.Kenapa penting hantar wakil ni? Kenapa tak boleh main pendam sahaja sampailah tiba-tiba jejaka/puteri idaman hati itu tiba-tiba datang kepada kita?Saya sudah jelaskan dalam note yang lepas.

 

Kalau tak bagitahu, tak make the move, akan ada dua situasi.

 

situasi 1 –> Pendam lama-lama, tup-tup dia tak suka kita pun. Frust sahaja bertahun-tahun bazir waktu. Sedangkan, kalau kita tahu, kita boleh sahaja mula cari yang lain pula.

 

situasi 2 –> Pendam lama-lama, tup-tup rupanya dia suka kat kita. Tinggal kita lambat buat move, dia kahwin dengan orang lain.

 

Jangan cakap kat saya fasal “dah tak ada jodoh, nak buat macam mana”

Di sini, walaupun kelihatan anda seperti redha dengan takdir, sebenarnya anda lebih kepada menyalahkan Allah SWT.

 

Sebab sebenarnya, yang salahnya adalah anda. Setiap musibah yang menimpa kita, hakikatnya adalah perbuatan tangan kita sendiri.

 

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”  Surah Asy-Syuura ayat 30.

 

Kemudian, apabila diterima, kita biasanya akan masuk ke alam pertunangan.

Di alam pertunangan inilah sebenarnya kita memanjangkan lagi ta’aruf.

 

Janganlah sampai tidak berhubung langsung. Kononnya hendak menjaga syara’. Hendak menjaga diri dari zina hati kononnya. Berhubunglah. Tetapi dengan batas. Pastikan penjaga tahu, ibu bapa tahu bila kita berhubung. Dan sebenarnya, perbanyakkanlah berhubung dengan penjaganya, berbanding berhubung dengan tunang kita. Eratkanlah hubungan kekeluargaan, perdalamkanlah ta’aruf dengan banyak bertanya kepada kedua ibu bapanya. BEerta’aruf dengan pasangan sepanjang pertunangan juga penting, tetapi berpada-padalah. Nasihat saya, banyakkan berhubung dengan ibu bapanya, dengan ahli keluarganya yang lain.

 

Dan kalau perlu berbincang sesuatu perkara, berbincanglah pakai telefon. Tiada salahnya. Janganlah kerana terlalu nak menjaga, berbincang hanya di atas email dan sms sahaja. Tulisan ini, orang boleh interprestasi 1001 macam interprestasi. Maka situasi perbincangan, berjumpalah(dengan ibu bapa ada sekali) atau pakailah telefon, skype ke, bukannya salah. Nak bina rumah tangga. Kenalah serius. Betul-betul.

 

Ketika bertunang ini, dibenarkan pergi makan bersama. Tetapi bawalah keluarga. Bukanlah lebih indah dan lebih terjaga?Bukan tidak dibenarkan keluar bersama. Tetapi bawalah keluarga. Bukankah itu lebih cantik dan terjaga?

 

Saya jujurnya, saya keluar makan dengan tunang saya juga. Saya keluar shopping dengan dia.Tetapi dengan keluarga kami. Kami ditemani kedua-dua ibu bapa kami.

 

Saya beri hadiah kepada dia. Dia beri hadiah kepada saya. Bahkan kami berbincang lagi dengan kedua-dua ibu bapa kami, hendak bagi hadiah apa.

 

Saya sering sahaja berziarah ke rumahnya semasa saya pulang ke Malaysia. Bersembang dengan kedua-dua ibu bapanya. Bersilaturrahim dengan abang-adiknya.

 

Tidak perlu pun saya bercouple berdua-duaan dengannya untuk mengenalinya.

Tetapi saya amat yakin saya mengenali tunang saya. Semestinya bukan 100%, tetapi cukup untuk saya kata, dia adalah yang terbaik saya mampu cari setakat ini untuk diri saya. Cukup untuk menyenangkan hati saya, bahawa bakal isteri saya nanti adalah yang sesuai dengan saya.Banyak lagi kalau hendak diceritakan antara saya dengan tunang saya.

Tetapi indah rasanya kalau cerita itu semua selepas kami berkahwin nanti insyaAllah.

Kena minta izin dia dulu. ^^

 

Nah.Siapa kata kalau tak couple maka tak kenal?

 

Tidak perlu couple pun. Tidak perlu merendahkan maruah kita pun. Tidak perlu berhubung bebas pun.

Kenal tetap dapat kenal.

 

Bahkan, dapat menjaga kehormatan diri, bersih, jauh dari maksiat dan sebagainya.

 

Penutup: Sesiapa yang faham keluasan Islam, maka dia akan senang dengannya.

Ramai yang tidak mengetahui keluasan Islam.

Ramai agamawan, hanya tahu memberitahu batasan itu dan ini, itu dan ini. Hingga kadangkala mengharamkan yang halal. Kononnya untuk menjaga. Perkara ini  banyak menimbulkan kekacauan sebenarnya. Pada saya, kalau hendak menjaga ketat-ketat sangat, sampai jumpa pun tidak, sampai bincang pun tidak, tak patutlah sebenarnya.

 

Yang Islam bagi tu, bagilah. Kenapa mesti hendak tak bagi.

Bila cerita apa yang Islam tak bagi, patut tunjukkan apa yang Islam bagi.kena faham bukansemua orang faham Islam macam orang agama faham.

 

Jadi, kepada yang masih tidak memahami perkara ini(cinta, bina rumah tangga cara Islam n so on), perhatikanlah artikel saya ini.

Mana kurangnya? Bahkan banyak lebihnya.

 

Anda jauh dari maksiat. Anda jauh dari  kerosakan maruah.

Anda berada dalam rahmat Allah.

Kenal dapat kenal. Kahwin dapat kahwin. Bahagia insyaAllah bahagia.

Maka di mana downsidenya?

 

Memanglah mungkin kelihatan tidak seromantis mereka-mereka yang keluar-keluar berdua-dua(atau secara berkumpulan) itu. Tetapi yakinlah, sebentar sahaja benda ini. Selepas kahwin, nah, pergilah ke tepi pantai, pergilah ke shopping complex, nak share satu cawan satu straw, nak share satu pinggan satu sudu satu garfu, semua boleh. Jangan risau. ^^

 

Lagipun, anda perhatikanlah.

Kalau benar cinta, mestilah hendak ke syurga Allah SWT.

Jadi, apa kes kita buat benda yang tak syar’ie atas nama cinta?

Itukan membawa ke neraka? Maka bagaimana itu boleh dinamakan cinta?

So, siapa kata tak couple maka tak kenal?

^^

 

(p/s : moga Allah berkati usaha adik ini,saudara Hilal Asyraf..)

 

Tinggalkan budaya couple, amalkan budaya cinta yang diterapkan dalam Islam. Namun, soal HATI, itu yang seharusnya dijaga sebaik mungkin..

Bertindak dengan taqwa,dalam meraih sinar Jannah.

Jodoh ; antara pilihan atau ketentuan Tuhan

Bismillahirahmannirrahim….

Pelik juga, post sesuatu soal jodoh pada hari ke 3 Syawal..hmm..tapi itulah yang terfikir di ingatan buat masa ini. Soal ini sudah saya fikirkan sejak 2 tahun lepas lagi, tapi kuasa Allah, saya belum menemui belahan hati saya. Jika ada pun, pelbagai halangan yang saya perlu tempuh. Kerana itu, saya keakan penat memikirkan soal jodoh saya.

Adakah tiap orang perlu berkahwin dengan lelaki yang dicintai?

Tapi seakan ramai juga yang berkahwin tanpa mengenali dan mencintai pasangannya.

Adakah ada orang yang boleh mengahwini lelaki yang tidak dicintai?

Hakikat, ramai juga yang bercerai kerana merasakan tidak dapat mencintai suami sepenuh hati.

Maka, atas dasar apa saya perlu berkahwin????

Banyak orang mengatakan jodoh itu rahsia Tuhan. Maka saya tertanya-tanya, andai rahsia, bagaimana saya dapat tahu sesorang itu jodoh saya atau tidak? Maka persoalan itu tidak terjawab hingga kini. Dan saya masih bingung hingga kini…..

Tapi, suatu yang saya pasti. Hidup saya pasti berjodoh. Allah sudah merencana tiap yang diciptakan mesti berpasangan. Maka atas dasar beriman kepada Al-Quran, saya pegang janji Allah itu. Siapa?? erm, itulah yang bermain-main di fikiran saya sekarang…

Allah,

Aku bukan pinta yang kacak bergaya,takut-takut aku terpaku kerana nafsu dan bukan dasar mencintai suruhanMu,cukuplah dia penyejuk mata dan penenang jiwa di mataku,

Aku bukan pinta yang kaya raya, takut-takut aku terjerat kerana harta dan lalai dengan tipu helah dunia, cukuplah dia punya pendapatan yang mencukupkan aku dan keluarga dalam menjalani kehidupan dunia,

Aku bukan pinta pangkat dan darjat, takut-takut aku terbangga sendiri dan lupa diri, cukuplah dia insan biasa yang menjadikan aku tunduk sebagai hamba Tuhan yang setia,

Aku bukan pinta yang sangat romantik, takut-takut aku lupa ibadah dan asyik dengan cinta, cukupla dia yang sentiasa mengingatkan aku tentang Pencipta Cinta,

Aku bukan pinta insan hebat yang menjadi bualan orang, takut-takut aku riak dengan anugerah Tuhan, cukuplah dia insan beragama yang mampu membimbing aku ke jalan Jannah.

Allah temukan aku dengan dia, kerana aku takut pada fitnah dunia. Allah, temukan aku dengan dia, kerana sekurang-kurangnya aku dapat merasa Jannah dunia. Allah, temukan aku dengan dia, kerana aku mahu imam untuk tiap solat dan amalanku, Allah temukan aku dengan dia, kerana aku mahu melahirkan pejuang dan srikandi Islam yang menegakkan agamaMu, Allah, temukan aku dengan dia, agar aku bisa melatih diriku menjadi bidadari buat Raja hatiku.

Allah, sungguh Kau Maha Tahu. Pilihkan dia untuk ku……….

Dalam aku mencari sinar Jannah.

Rabiatul Adawiyah, pencinta Allah yang setia

Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya untuk membeli buku tentang seorang wali Allah bergelar Rabiatul Adawiyah. Sungguh, saya kagum dengan keperibadiannya. Benar kata orang, kita menjadi orang yang luar biasa apabila melakukan perkara yang luar biasa.

Semua orang sedia maklum, Rabiatul Adawiyah tidak berkahwin kerana cinta Allah melebihi cintanya kepada insan bergelar lelaki. Dari insan biasa kepada Sultan negara, semuanya ditolak oleh Rabiatul. Sungguh zuhud hidupnya kerana sehari-hari makanannya hanya sekeping roti. Sungguh, saya tidak mampu sepertinya. Pengabdiannya pada Allah sungguh luar biasa. Hati kecil saya mahu sepertinya. Merindui Allah sepanjang masa. Mencintai Allah segenap ruang hati. Namun, saya cuma insan biasa yang banyak salah dan khilaf sedangkan Rabiatul Adawiyah punya hati yang suci dan tarbiah yang baik sejak dari rahim ibunya lagi.

Dari cerita yang saya baca itu, apa yang saya dapat simpulkan, anak solehah terhasil jua dari benih ibu bapa yang suci. Bapanya, Ismail al-Adawiy seorang zuhud dan abid. Ibunya pula seorang isteri yang sangat patuh dan taat pada Allah dan suaminya. Hidup mereka serba kekurangan namun mereka tidak pernah merungut. Sifat Qanaah antara kedua-duanya menjadi inspirasi kerana saya untuk merasa cukup dengan nikmat hidup. Cukup. Sifat redha dengan rezeki Allah, sifat sabar atas kesusahan hidup. Sungguh, saya hidup dengan keadaan yang hampir sempurna, punya keluarga yang sentiasa menyokong saya, punya pekerjaan halal, punya rakan-rakan yang menyenangkan hati dan kawasan rumah yang mendamaikan. Punya tubuh badan yang sihat dan hidup yang selesa. Untuk apa lagi saya merungut. Mungkin saya belum punya suami di sisi yang menjadi belahan hati saya. Namun, nikmat tersebut saya tahu, hanya Allah yang mengetahui pengakhiran penantian itu. Jika dibandingkan dengan Rabiatul Adawiyah, saya lebih beruntung! Rabiatul Adawiyah kehilangan kedua ibu bapanya di saat masih kecil, diculik saat keluar mencari makanan, dijual dan menjadi hamba kepada majikan yang kejam hampir sepuluh tahun!!! Namun dia tidak pernah sekalipun merungut pada ketentuan Tuhan. Sungguh, saya rindu untuk menjadi seperti hatinya…

Hati saya berbisik, apa makna cinta manusia tanpa cinta Allah. Apa guna bahagia di dunia tetapi melupakan Tuhan yang menciptakan. Sungguh, kadang-kadang saya rasa saya merindui mati. Rindu bertemu Tuhan yang mencipta saya, yang menjaga saya dari bahaya, yang menemani saya sentiasa. Namun, rasa takut terut menerpa, apalah bekal saya yang saya ada untuk bertemunya? Apalah saya dibandingkan denga Rabiatul Adawiyah yang setiap masa ingatannya hanya pada Allah yang Esa.  Sedangkan saya….????

Saya kurang sabar saat diuji Allah. Saya menangis mohon diangkat kesusahan hati. Saya mengeluh saat diduga Allah. Saya merungut-rungut dengan kesulitan yang saya hadapi. Saya membanding-bandingkan kesusahan saya dan kebahagiaan yang dikecapi oleh orang lain. Saya malu. Bagaimana saya ingin menjadi seperti Rabiatul Adawiyah jika hati saya belum sesuci hatinya? Bagaimana saya mahu sepertinya jika akhlak saya tidak lagi secantik akhlak Rabiatul Adawiyah yang lemah lembut dalam segala yang hak dan bertegas pada yang batil? Sungguh, saya hanya perempuan akhir zaman yang berangan menjadi perempuan solehah di sisi Tuhan.

Maka, dengan baki umur yang ada, saya bertekad untuk mengubah hidup saya. Saya mungkin bukan Rabiatul Adawiyah yang tidak berkahwin kerana mengabdikan diri pada Allah yang Satu, tetapi cukuplah saya dapat merasakan Allah dalam hati saya sepanjang hayat saya dan mati menemui Allah dengan kesudahan yang baik. Cukuplah saya dapat menjadi perempuan yang berpegang pada syariat Allah dan melaksanakan semua perintahNya dengan hati yang redha dan tenang. Cukuplah saya dapat menjadi perempuan yang sentiasa rindukan Allah dan RasulNya.

Allah, amalku bukan kerana mengharap pahala dan syurgaMu. Allah, ketaatanku bukan kerana aku takut pada amaran seksaanMu dan panasnya api nerakaMu.

Namun amalan dan ketaatanku adalah kerana ia adalah perintah dariMu dan bukti aku adalah hamba yang taat padaMu. Cukuplah aku mendapat redhaMu dan Kau menyukaiku..

Allah, aku rindu…………………………..

Aku ingin menjadi Rabiatul Adawiyah akhir zaman.

Mencari sebuah jawapan dalam suatu pilihan

Alhamdulillah, saya masih diberi nafas untuk bernyawa. Alhamdulillah, saya diberi hati untuk merasa, Alhamdulillah, saya diberi akal untuk berfikir. Alhamdulillah, saya diberi pilihan untuk memilih.

Saya kini diuji. Diuji dengan pilihan. Diuji untuk mencari sebuah jawapan. Dan kini saya masih buntu. Buntu mencari penyelesaian. Tapi saya tahu, Allah pasti membantu.

Ada orang berpesan kepada saya, kadang-kadang Allah tidak memberi apa yang kita mahukan, tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan.

Ada orang berpesan kepada saya, kadang-kadang apa yang kita rasa elok disisi kita, belum tentu terbaik pada ilmu Allah, dan apa yang kita rasa buruk pada kita, belum tentu musibah dari Allah.

Ada orang berpesan kepada saya, just follow the flow dan tawakal. He knew the best for us.

Ada orang berpesan kepada saya, doa.doa.doa. Allah pasti menunjukkan jalan.

Ada orang berpesan kepada saya, buatlah istikharah, insyaAllah moga Allah bagi petunjuk yang  terbaik pada kita.

Pesanan itu tersisip rapi di minda saya. Tapi saya tetap buntu. Buntu dengan perasaan dan minda saya sendiri. Pilihan buat saya pening, mana yang terbaik kerana saya tahu, kita hanya merancang, Allah penentu segala. Dan kerana takdir begitulah, kepala saya tidak habis memikirkan, mana pengakhiran yang terbaik mengikut pilihan saya.

Maka saya simpulkan, pilihan dari Allah bukan untuk menyerabutkan otak dan perasaan, walaupun terkadang saya menjadi murung kerana pilihan ini. Pilihan dari Allah bukan menjadikan minda kita keliru dan serba salah. Tetapi pilihan dari Allah adalah tarbiah dalam melatih hati untuk bergantung sepenuhnya pada ilmu Allah. Pilihan dari Allah adalah didikan terus dari Allah untuk kita bertawakal dengan jawapan yang kita ambil dari suatu pilihan. Pilihan dari Allah adalah menguji iman dan sikap kepercayaan kita pada Qada dan Qadar Allah. Pilihan dari Allah adalah melatih kita matang dan berpandukan agama dalam meraih suatu jawapan. Pilihan dari Allah adalah jawapan kepada pengertian konsep redha dan pasrah pada penentuan pilihan yang dibuat.

Maka, dalam membuat pilihan ini, saya menanti jawapan dari Tuhan. Doakan saya agar dapat memilih. Memilih kerana Allah. Memilih kerana mencari redhaNya.

Memilih dalam mencari Jannah.

Sekadar coretan seorang musafir

Sudah terlalu lama saya tidak mencoretkan sesuatu.  Terlalu banyak ingin diluahkan tetapi saya bukan sasterawan mahupun seorang penulis yang mampu mencoretkan kata-kata indah dan puitis untuk tatapan semua. Tulisan saya hanya satu peringatan untuk diri saya mahupu sesiapa sahaja yang sudi membaca. Maka atas nama cinta, cinta pada Tuhan, cinta pada pesanan Allah untuk saling ingat mengingatkan, maka saya tergerak hati untuk berkongsi, untuk meluahkan pengalaman dan pengamatan seorang yang bergelar musafir.

Saya agak kerap berulang alik, dari Kota Bharu ke Miri atas alasan kerja. Sememangnya itulah satu-satu alasan untuk masa ini. Saya sangat suka memerhatikan keadaan sekeliling, mengamati setiap sudut dan karenah penghuni sekelilingnya kerana dari sana, saya belajar sesuatu. ya benar. Saya belajar sesuatu dari sana……..

1. Saya perhatikan telatah ibu yang memangku anak kecilnya. Anak kecil itu menangis, meraung dengan kuat. Semua orang tertumpu padanya. Namun semua orang senyum pada ibu tadi. Cuba mengacah-acah anak kecil supaya diam kembali. Si ibu sedaya upaya menenangkan anak, berzikir, mendukung, memberi susu, segalanya dibuat, demi kasih pada anak. Subhanallah, murni kasih ibu, sucinya seorang bayi. Hati saya pilu, saya belum punya anak, belum merasai indahnya bayi dalam kandungan saya, belum pernah merasai peritnya melahirkan, belum pernah merasai tenangnya memeluk anak sendiri, belum pernah merasai indahnya saat menyusui, namun hati saya begitu tersentuh. Naluri seorang perempuan barangkali. Namun yang saya ingin ceritakan di sini, tulus hati seorang ibu, sabar melayani karenah anak kecilnya, tanpa mempedulikan jelingan dan tatapan orang padanya.Tiba-tiba saya teringatkan Pencipta saya, jika sebegini kasih seorang ibu, bagaimana kasihnya Pencipta kita pada makhlukNya??? Allah..Engkau Maha Penyayang..

2. Saya perhatikan pemakaian seorang muslimah. Saya hanya fokus kepada yang bergelar muslimah kerana saya juga seorang muslimah. Ada yang bertudung litup dan berjubah. Sungguh, sejuk hati saya memandangnya. Dengan tutur kata yang sopan dan lemah lembut mengatur langkah di lapangan terbang, saya tiba-tiba rasa ingin menjadi sepertinya. Muslimah solehah. Tenang dan senang. Namun, manusia memang berbagai ragam. Seorang muslimah juga, namun tidak tergambar seperti muslimah. Pakaian mengalahkan pelakon barat. Sentat,ketat n singkat. Sungguh,saya rimas melihat. Mata-mata sang lelaki mengekor dalam diam-diam melihat tubuh yang padat isi ditayang sewenang-wenang. Hati saya cuma satu. Moga hatinya terbuka melihat kebenaran. Moga Allah berikan dia kesedaran. Saya tahu, teguran tanpa kehadiran hati memang tidak akan pernah membuahkan hasil. Jika kita katakan yang dilakukan itu salah. Hati yang belum terbuka memang menyampah dengan teguran kerana baginya itu tidak ‘salah’.

3. Melihat seorang pemuda yang beratur panjang di kaunter ‘check in’ sambung memegang buku tafsir al-Quran.( tafsiran saya kerana tidak dapat melihat tajuk buku. Saya sekadar menjeling isinya yang penuh dengan ayat al-Quran dan tafsir.). Mulutnya tenang melafazkan apa yang dibaca. Bibir saya tersenyum. Ada lagi pemuda sepertinya. Alhamdulillah. Waktu diisi sebaiknya dengan ilmu Allah. Moga Allah berkati usahanya. Sambil menolak troli menunggu giliran, dia tekun membaca. Kusyuk.

Banyak lagi perkara yang saya lihat, saya dengar dan saya perhatikan. Bukan untuk menyelongkar rahsia manusia, tetapi untuk saya jadikan pedoman hati. Belajar dari manusia. Dari sana saya belajar sesuatu. Kadang-kadang kita merasakan kita sendirian. Tetapi kita tidak tahu bahawa ada mata yang melihat. Ada mata yang menilai tingkah-laku kita. Situasi di atas melihat kepada saya sebagai penilai ragam manusia. Tapi siapa pula penilai diri saya?? Mungkin orang lain. Mungkin juga rakan sebelah saya. Namun, yang saya tahu, saya sudah ada penilai tetap. Yang menilai segala tindak tanduk dan niat hati saya.

ALLAH.

Dia menilai saya dari segenap segi. Mana saya nak lari? Dia meneliti niat saya sepanjang saat. Mana lagi saya nak sorokkan suara hati saya?

Kita hanyalah hamba. Memang sentiasa diperhatikan dan dinilai oleh yang Esa. Dan kita juga seorang musafir. Musafir di dunia untuk ke dunia akhirat yang hakiki. Dah cukup bekalan perjalanan kita sebagai musafir ini???

Mencari sinar Jannah. Mencari jalan menuju Jannah.

Nak kurus, antara susah dan senang…

Assalamualaikum…

Topik yang mungkin biasa dibincangkan. Mahu kurus. Ingin langsing. Hendak berdiet. Itu istilah-istilah normal yang keluar dari mulut orang yang ingin kurangkan berat badan. Selepas 4 tahun dalam arena menguruskan berat badan ini, saya dapat membuat beberapa kesimpulan. Namun, mungkin kesimpulan ini hanya sesuai untuk diri saya sahaja atau boleh disimpulkan pada semua orang. Allah Maha Mengetahui. Ini kerana, sistem badan manusia tidak ada yang sama. Mungkin kaedah berbeza diperlukan pada individu yang berbeza. Tidak hairan, ada yang sudah berdiet tetapi berat tidak turun-turun dan ada juga yang makan banyak tapi tidak gemuk-gemuk!!!

Saya lebih gemar berdiet dengan kaedah saya sendiri (setelah merujuk kaedah melalui bacaan di buku-buku dan juga sumber internet). Saya kurang percayakan produk-produk pelangsingan badan yang dijual di kedai-kedai atau secara online. Tidak perlu disebut apakah produk itu,mungkin para pembaca dapat mengagaknya..

Alhamdulillah, prosesnya tidak sukar mana pun. Berat badan turun dengan jayanya. Namun, yang susah adalah untuk mengekalkannya. ISTIQAMAH. Saya sangat-sangat susah untuk perkara tersebut kerana saya sememangnya penggemar makanan. Apabila berat badan mencapai target, maka dengan sewenang-wenangnya saya melanggar peraturan saya sendiri dan berat badan meningkat semula dalam diam dan tanpa sedar. Bila tersedar, saya terpaksa diet lagi……

Maka, antara senang untuk kurus adalah semasa proses untuk kurus……..Namun, senang bukan bermaksud mudah, anda perlukan strategi.Kalau tidak, impian anda hanya tinggal angan-angan kosong.

1. Sebelum mula menguruskan badan, anda perlukan target. Berapa kg anda ingin kurangkan dalam suatu tempoh yang anda tetapkan. Tetapi, target tersebut biarlah diterima akal. Secara normalnya, badan manusia boleh berkurang sebanyak 0.5 – 1.0 kg seminggu,maka tetapkan target anda berdasarkan kemampuan itu. Contohnya, anda ingin kurangkan 5kg, maka sekurang-kurangnya, bagi tempoh pada badan anda selama 5 -6 minggu. InsyaAllah, anda pun tidak stress bila target itu logik untuk dicapai. Harus diingat, tiada istilah kurus dengan cepat. Setiap sistem badan perlu beroperasi secara natural dan tanpa ‘paksaan.’

2. Apabila sudah menetapkan target, maka ‘perjuangan’ anda bermula!!! Mengikut apa yang saya lakukan dan nasihat-nasihat pakar, untuk mengurangkan berat badan, jangan kurangkan makan, tetapi kurangkan kalori makanan. Apakah kalori?? Anda boleh rujuk kepada http://www.caloriecount.com  untuk penerangan yang lebih lanjut. Tetapi secara ringkasnya, tubuh kita memerlukan jumlah kalori tertentu untuk berfungsi,dan pengiraannya berdasarkan berat, jantina, umur dan tinggi individu. Dari website tersebut, mungkin anda dapat mengetahui keperluan kalori anda seharian!! =)

3. Maka, apa yang saya lakukan, saya tetap makan makanan kesukaan saya. Tetapi dalam kuantiti yang dihadkan. Contohnya, saya mengehadkan kalori seharian yang saya perlu ambil hanyalah 1000kcal. Maka, dalam satu hari, jumlah kalori saya perlu tidak lebih dari jumlah tersebut. Dari sarapan hinggalah kepada makan malam.

4. Saya tidak makan nasi!! Boleh tahan ke?? Sebenarnya, setelah mengamalkan kaedah ini, badan saya lebih ringan dan bertenaga. Ingat, kita bukan wajib makan nasi tetapi perlu makan makanan berkarbohidrat. Maka, karbohidrat yang saya ambil adalah dari sumber bijirin. Ini kerana, bijirin lebih rendah kandungan kalorinya. Rujuk pada kotak kandungan nutrisi je. Maka, sehariannya,

a) sarapan – bijirin seperti cornflakes yang saya ambil bersama milo panas kosong (anggaran) = 200 kcal

b) kudapan(antara 10-12thgr) – roti / biskut (anggaran) = 250 kcal

c) makan tengahari – saya makan lauk sahaja. tetap kenyang. Betul!! (anggaran) = 200 kcal

d) petang – ambil buah atau minuman percernaan seperti vitagen atau yugort (anggaran )= 100 kcal

e) makan malam – bijirin seperti sarapan. (anggaran) = 200 kcal.

Maka, jumlah keseluruhan dalam anggaran kurag dari 1000kcal. ( Pemakanan kadang-kadang tidak tetap seperti di atas, bergantung kepada situasi dan makanan yang ada..)

Yang penting, jangan biarkan perut kosong. Perut anda perlu mendapatkan makanannya. Juga, yang harus diingat, metabolisme badan lebih aktif bila anda makan kerana ia digunakan untuk menghadam dan mencerna makanan, jika anda tidak makan, metabolisme juga turut ‘berehat’. Dahtu, bila nak kurus??

5) Orang pesan minum banyak air kosong. Memang, anda kena minum banyak air. Dengan air, perut lebih rasa ‘penuh’ dan anda tidak terlalu lapar. Lagi bagus, air kosong = 0 kcal. Perlu diingat, air kosong sahaja, tinggalkan sementara air manis kesukaan kerana semestinya nilai kalorinya lebih banyak. Tetapi, saya tetap juga ambil milo kosong tanpa susu. Maka, semuanya bergantung pada alternatif anda.

6) Bersenam. Ini memang wajib!! Bersenam akan meningkatkan metabolisme anda. Awal-awal nak bersenam memang agak susah, malas, tidak ada masa dan sebagainya. Namun, perinsip nak kurus, nak seribu daya, bukan?? Kata orang kesihatan, anda perlu bersenam 30 minit 3 kali seminggu. Namun, kata saya, anda perlu bersenam 30 minit sehari pada tiap-tiap hari. Sebabnya, bersenam 3 kali seminggu hanya akan mengekalkan berat badan anda dalam mengekalkan kesihatan badan,jadi untuk mengurangkan berat badan, kita harus lakukan lebih dari itu.

Bagi muslimah seperti saya, agak sukar dan saya tidak menyukai melakukan ‘aktiviti’ ini di kawasan awam. Maka, ubah persepsi, senaman tidak semestinya dijalankan di ruang aerobik, di padang atau di taman permainan. Anda boleh lakukannya di rumah sahaja!! Maka, cara saya, pasang beberapa lagu rancak kesukaan kita, dan gerakkan badan sesuka hati yang anda mahu lakukan. Aurat lebih terjaga dan kita bebas melakukan senaman yang kita suka!! Motif tetap sama, badan berpeluh dan metabolisme badan meningkat..

7) Tidur yang cukup. Ini penting, kalau tidur tidak cukup, kita cenderung untuk makan. Xpercaya? cuba anda menonton televisyen hingga pukul 1 pagi, saya gerenti, akan ke dapur untuk mengisi perut yang berkeroncong dan ini merosakkan program diet anda. Justeru, tidur lah secukupnya. sekuran-kurangnya ia mengelakkan anda mengambil kalori di luar matlamat!

Itu sahaja!! Senangkan..dan akhirnya, dalam masa 2 bulan saya berjaya kurang 5 kg!! Seronok bila melihat berlaku perubahan. Namun, ia jarang kekal lama..kerana di sebalik kesenangan itu, ada kesusahan yang perlu kita atasi…

1) agak sukar untuk kekal kurus. Apabila sudah mencapat target, secara automatik, kita memerdekakan diri kita dengan mengambil makanan kesukaan sesuka hati. Dalam hati, tidak mengapa, sikit ja. lagipun aku sudah kurus..Maka, berat badan bertambah tanpa sedar.

2) agak sukar untuk kekal bersenam. Apabila sudah mencapai target, anda menjadi sukar untuk kekalkan senaman 3 kali seminggu. Dalam hati, tidak mengapa, aku sudah kurus,tak perlu banyak bersenam lagi… Maka, berat badan bertambah tanpa sedar.

3) agak sukar tidak makan semasa menonton tv di tengah malam. Apabila sudah mencapai target, anda menjadi sukar untuk tidak makan. Maka, semasa menonton tv, anda menguyah sedikit demi sedikit snek kesukaan. Dalam hati, tak pe, sekali sekala….Maka, berat badan bertambah tanpa sedar.

Apabila ia berlaku, apa yang anda lakukan??? Anda berdiet lagi..Maka, di mana nilai ISTIQAMAH di situ??

Mencari sinar Jannah.