Archive for the ‘suka duka kehidupan’ Category

Bersangka baik,justeru hatimu tenang..

Assalamualaikum…

HATI. Satu organ yang wujud dalam badan setiap insan. PERASAAN. Suatu yang tidak wujud untuk dilihat, namun dapat dirasai oleh setiap orang. Hebatnya kuasa Allah, suatu roh yang wujud tanpa kita pasti di mana letaknya. ALHAMDULILLAH. Allah kurniakan kita hati dan perasaan. Yang membolehkan kita bercinta,merindui, membenci, marah, menangis dan banyak lagi perasaan perantara antara benci dan sayang.

Kita gagal mendapatkan pekerjaan yang kita mahu.Kecewa,bukan….Hanya yang pernah mengalami sahaja yang tahu.

Kita gagal dalam percintaan. Merana,bukan….Hanya yang pernah mengalami sahaja yang memahami.

Kita gagal dalam peperiksaan. Sedih, bukan..Hanya yang pernah mengalami sahaja yang mengerti.

Namun, dari pengalaman sendiri, bersangka baiklah dengan apa yang berlaku. Kecewa, merana dan sedih,hanya akan menyakiti hati dan perasaan sendiri. Mahu kecewa, merana dan sedih.Boleh, tapi sampai bila????

Tanya diri sendiri. Tipu jika saya kata saya tidak pernah bersedih atas kekecewaan(beberapa kekecewaan yang telah Allah titipkan). Lama juga mahu pulih, kerana saya juga insan biasa. Hidup hambar,kusam. Tapi alhamdulillah, Allah membuka mata , hati dan perasaan saya untuk melihat musibah itu adalah ketentuan dari Allah. Malah, musibah yang berlaku pada diri kita kebanyakannya dari tangan kita sendiri. Sungguh, kita sendiri yang merancanakan kesedihan yang kita alami. Tak percaya, tanya hati dan perasaan anda sendiri. Pasti anda akan akui.

Lantas, bagaimana mahu bersangka baik?? Redhalah dengan apa jua yang berlaku. Semudah itu??

TIDAK.

Untuk meredhai apa yang berlaku memang tidak mudah malah terlalu payah. Justeru bagaimana???

Tanam saja dalam hati. Dunia bukan milik kita. Yang kita rasa kepunyaan kita adalah bukan milik hakiki kita. Ia pinjaman Allah. Kita gagal mendapatkan pekerjaan yang kita kehendaki,tanam saja dalam hati,pekerjaan itu bukan rezeki untuk kita. Allah telah merencanakan pekerjaan lain! Kita gagal dalam percintaan, tanam saja dalam hati, cinta itu hanya pinjaman sementara, ia boleh datang, boleh pergi dan tidak mustahil untuk datang kembali.Maka untuk apa ditangisi sehabis hati. Hanya cinta sejati yang akan hadir menemani dengan izin Allah, bukan cinta yang dikhianati. Kita gagal dalam peperiksaan, tanam dalam hati, Allah mahu kita terus berikhtiar. Peperiksaan yang gagal bukan penamat hidup. Berapa ramai yang tidak habis belajar yang berjaya dalam kehidupan mereka. Jangan putus asa kerana Allah tidak akan pernah menzalimi hambaNya.

Cubalah bersangka baik dengan Allah. Anda pasti akan tersenyum. Allah yang menjadikan kita. Allah yang menjaga kita dari lahir hingga mati. Allah yang menjaga kita dari bahaya dan hasutan syaitan. Maka, Allah pastinya merencana hanya yang terbaik untuk kita.

Keburukan yang kita dapat tidak selama-lamanya melekat dengan diri kita. Pastinya kita pernah baca kisah hidup insan-insan yang berjaya,bukan? Adakah mereka bermula dengan kesenangan? Adakah mereka bermula dengan kekayaan? Adakah mereka bermula dengan kebahagiaan? Saya dapat mengagak, anda pasti tahu jawapan.

Maka bersangka baiklah dengan ujian Allah. Bersangka baiklah dengan apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita. Kerana yang berlaku, hanya yang terbaik untuk laluan hidup yang akan datang. Didiklah hati, didiklah perasaan dalam menuju kebaikan. Bersangka baiklah, justeru hatimu tenang…..;))

Bersangka baik dengan Allah dalam meraih sinar Jannah.

Mencari sebuah jawapan dalam suatu pilihan

Alhamdulillah, saya masih diberi nafas untuk bernyawa. Alhamdulillah, saya diberi hati untuk merasa, Alhamdulillah, saya diberi akal untuk berfikir. Alhamdulillah, saya diberi pilihan untuk memilih.

Saya kini diuji. Diuji dengan pilihan. Diuji untuk mencari sebuah jawapan. Dan kini saya masih buntu. Buntu mencari penyelesaian. Tapi saya tahu, Allah pasti membantu.

Ada orang berpesan kepada saya, kadang-kadang Allah tidak memberi apa yang kita mahukan, tetapi Dia memberi apa yang kita perlukan.

Ada orang berpesan kepada saya, kadang-kadang apa yang kita rasa elok disisi kita, belum tentu terbaik pada ilmu Allah, dan apa yang kita rasa buruk pada kita, belum tentu musibah dari Allah.

Ada orang berpesan kepada saya, just follow the flow dan tawakal. He knew the best for us.

Ada orang berpesan kepada saya, doa.doa.doa. Allah pasti menunjukkan jalan.

Ada orang berpesan kepada saya, buatlah istikharah, insyaAllah moga Allah bagi petunjuk yang  terbaik pada kita.

Pesanan itu tersisip rapi di minda saya. Tapi saya tetap buntu. Buntu dengan perasaan dan minda saya sendiri. Pilihan buat saya pening, mana yang terbaik kerana saya tahu, kita hanya merancang, Allah penentu segala. Dan kerana takdir begitulah, kepala saya tidak habis memikirkan, mana pengakhiran yang terbaik mengikut pilihan saya.

Maka saya simpulkan, pilihan dari Allah bukan untuk menyerabutkan otak dan perasaan, walaupun terkadang saya menjadi murung kerana pilihan ini. Pilihan dari Allah bukan menjadikan minda kita keliru dan serba salah. Tetapi pilihan dari Allah adalah tarbiah dalam melatih hati untuk bergantung sepenuhnya pada ilmu Allah. Pilihan dari Allah adalah didikan terus dari Allah untuk kita bertawakal dengan jawapan yang kita ambil dari suatu pilihan. Pilihan dari Allah adalah menguji iman dan sikap kepercayaan kita pada Qada dan Qadar Allah. Pilihan dari Allah adalah melatih kita matang dan berpandukan agama dalam meraih suatu jawapan. Pilihan dari Allah adalah jawapan kepada pengertian konsep redha dan pasrah pada penentuan pilihan yang dibuat.

Maka, dalam membuat pilihan ini, saya menanti jawapan dari Tuhan. Doakan saya agar dapat memilih. Memilih kerana Allah. Memilih kerana mencari redhaNya.

Memilih dalam mencari Jannah.

Coretan seorang aku..

Assalamualaikum…

Entah kenapa rasa seperti mahu meluahkan sesuatu hari ini. Sebelum ini, saya sekadar memberi apa yang saya baca dari buku. Saya tidak mampu berdakwah seperti Nabi S.A.W, tapi saya tidak mahu kelihatan seperti umatnya yang lemah. Paling tidak, saya sebarkan melalui apa yang saya tulis. Moga diredhai Allah S.W.T.

20+ hidup di dunia, saya mula mengenal hakikat kehidupan, mungkin terlalu awal, kerana saya sudah menjadi seorang anak, seorang pelajar, seorang pekerja, dan belum lagi bergelar seorang isteri, seorang ibu, seorang hajjah. Panjang lagi perjalanan itu jika Allah izinkan ia menjadi panjang. Namun, kadang – kadang saya banyak kalah pada realiti hidup. Semua orang cakap hidup tidak semudah disangka. Dan memang, saya sudah mula merasai keperitan suatu kehidupan. Inilah ujian, inilah dugaan , sebagai hamba Tuhan.

Allah, aku ingin menjadi hambaMu yang taat, aku ingin menjadi hambaMu yang diredhai, aku ingin menjadi hambaMu yang sentiasa bersyukur, aku ingin menjadi hambaMu yang beribadat semata-mata keranaMu. Aku ingin menjadi hambaMu yang sabar. Aku ingin menjadi hambaMu yang dapat menghakis segala hasutan syaitan laknatullah.

Namun,

Aku lemah untuk istiqamah mentaatiMu, sering menjadikan masa sebagai kekangan, aku lemah menjadi hamba yang diredhaiMu, sering lalai mengamalkan suruhanMu, aku lemah menjadi hamba yang bersyukur kepadaMu, bila aku tenanti-nanti jodohku dan pertukaran tempat kerjaku, aku lemah untuk menjadi hambaMu yang sabar, sering menangis saat aku kesunyian dan kekosongan, aku lemah menghakis segala hasutan syaitan, sering terleka dengan tipu helah nafsu dan dunia.

Hakikat. Aku adalah hamba. Serba kekurangan, serba kelemahan. Aku perlukanMu. Makin dekat aku mendekatiMu, makin banyak halangan yang menghasut benak hati yang dengki. Makin aku mengingatiMu, makin banyak syaitan membisik nafsu yang melalaikan. Bagi orang, mungkin ia kecil, tapi padaku cukup, ia menyeksakan…

Aku sudah membaca apa yang aku ada, aku perlu buat apa yang aku baca, aku perlu istiqamah dengan apa yang aku buat, aku perlu sabar dalam beristiqamah, dan aku perlu iman untuk sabar.

Kau tidak pernah mengujiku di luar batas kemampuanku. Namun aku rasakan aku sudah cukup tersungkur dengan ujian ini. Aku sudah banyak kali terjatuh dengan dugaan ini. Aku tidak mahu tersungkur dan jatuh lagi, kerana aku takut aku kehilangan cintaMu.

Allah, Kau tolonglah hambaMu yang ingin menjadikan redhaMu sebagai matlamat hidup. Kau harapan, kerana Kau tidak akan pernah menghampakan hambaMu. Kau harapan, kerana Kau hanya mentakdirkan yang terbaik untuk semua makhlukMu, Kau harapan, kerana Kau tidak pernah mensia-siakan doa hambaMu. Kau harapan, kerana hanya cintaMu cinta yang hakiki.

Meniti kehidupan dalam mencari Sinar Jannah.

Langkah Pertama

Bismillahirahmanirrahim…..

Kaku jemari saya saat ingin memulakan tulisan pertama. Namun saya paksa juga minda saya memuntahkan idea sebaik mungkin. Mencari identiti sendiri, memerlukan banyak pertimbangan, lalu saya ambil langkah awal dengan memulakan perjalanan hidup saya di sini dengan perkara umum yang mampu dikongsi. Terlalu mentah untuk dibandingkan dengan penulis blog lain, namun , saya mengambil langkah saya yang pertama jua demi menyahut seruan Rasulullah SAW,lebih kurang bunyinya,” Sampaikanlah (ilmu) walaupun sepotong ayat”.

SARAWAK. Destinasi medan ilmu saya yang pertama. Tidak pernah terlintas di fikiran, tempat ini merupakan permulaan kepada pintu rezeki saya. Sedih, sayu, pilu, tidak puas hati, marah, kecewa, mengeluh dan semua perasaan negatif bersarang dan diluahkan dari kotak fikiran. Antara terpaksa dan pasrah, saya tetap memulakan langkah pertama itu.

Pembelajaran saya yang pertama, sering kali kita dimomokkan dengan kesempitan dan kesusahan hidup di pedalaman Sarawak, benar, cakap-cakap orang kadang kala perlu kita teliti dari menerimanya 100%. Bukan menidakkan kebenaran, tetapi perkara yang sering kali diwarwarkan agak keterlaluan. Alhamdulillah, Allah tidak pernah membebankan makhluknya di luar kemampuan.

Firman Allah SWT bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…” (Al-Baqarah ayat 286)

Sekolah yang ditakdirkan untuk saya ini lengkap dengan bekalan elektrik, air dan kemudahan internet. Inisiatif kerajaan membina kuaters guru turut memberi keselesaan dan kemudahan kepada saya untuk melaksanakan tugas. Sedikit demi sedikit keraguan dan perasaan negatif saya berkurang. Allah tidak pernah mensia-siakan makhluknya. Setiap yang terjadi dalam hidup adalah yang terbaik untuk kita.

Sedikit demi sedikit, saya mengubah persepsi saya mengenai sekolah pedalaman. Cuba dan alami dahulu, baru nilai. Majoriti pelajar di sini adalah Kristian. Terkesan jua di hati saat melihat gereja berhampiran kawasan sekolah dan kumpulan anjing dan babi bersepah di jalanan. Namun, dengan saki baki perasaan positif yang ada, saya cekalkan semangat, inilah cabaran. Inilah dugaan. Inilah yang dinamakan kehidupan.

Kadang-kala kita tidak dapat apa yang kita impikan. Namun,tidak semua perkara yang berlaku di luar impian kita buruk-buruk dan teruk-teruk belaka. Mungkin dari situ lahirnya sesuatu yang indah yang disebut PENGALAMAN. Saya menulis bukan berdasarkan ayat-ayat yang terkarang di fikiran, tetapi jua dari pengalaman. Dan kerana pengalaman itulah saya ingin berkongsi dalam memulakan langkah saya yang pertama. Apa yang sangat penting di sini, persepsi kita tentang perkara yang bakal kita tempoh. Tidak pernah ada manusia yang selalu mendapat apa yang diinginkan dan tidak juga pernah ada manusia yang tiap-tiap detik hidupnya bernasib malang. Justeru, apa jua yang bakal berlaku, bersangka baiklah dengan Allah yang mengatur seluruh perjalanan hidup kita. Bukanlah Percaya kepada Qada’ dan Qadar Allah merupakan salah satu rukun Iman? Nasihat dan teguran ini bukan untuk pembaca, tetapi untuk saya, yang menulis bukan sekadar untuk berkongsi, tetapi untuk memperingatkah hati saya sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; ” Allah SWT berfirman, ‘ Aku sesuai dengan prasangka hambaKu kepada diriKU” ( Riwayat al-Bukhari)

Atas ingatan Rasulullah itu, saya ubah persepsi saya sendiri. Bersangka baiklah dengan Allah, bersangka baiklah dengan takdir Allah, bersangka baiklah dengan semua yang terjadi dalam langkah pertama kehidupan demi meraih redha Allah SWT.

Lantas, atas keyakinan itu, saya melangkah setapak demi setapak membina hidup saya. Walaupun keyakinan yang positif ada, saya kadang-kala kerap jua tumbang, rebah pada tuntutan dunia, tersungkur dengan hasutan nafsu dan keinginan yang tidak pernah puas.  Kita sebagai hamba Allah hanya mampu merancang, hakikat sebenar, semuanya sudah tersurat di Loh Mahfuz, dan berlaku apabila Allah berkehendak.

Langkah pertama saya, positif pada takdir Allah SWT, sering kali kita goyah namun cuba dan terus mencuba kerana Allah tidak pernah meninggalkan hambanya yang mencari keredhaanNya.

Teruskan langkah dalam mencari sinar Jannah.

Assalamualaikum…

Pembuka bicara

Assalamualaikum…

Menulis bukan kerana nama. Menulis bukan kerana tingginya ilmu di dada. Menulis bukan kerana meluah isi rasa. Menulis bukan kerana ketidakpuasan jiwa. Menulis bukan kerana ingin mendabik dada.

Menulislah kerana ingin berkongsi. Menulislah untuk menyebarkan cinta sesama manusia. Menulislah untuk memberi ketenangan jiwa. Menulislah untuk menyebarkan ilmu. Menulislah untuk mencari redha Ilahi. Menulislah dalam mengejar Jannah

Mencari sinar Jannah

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.